The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS13 | PDRM FC 1-3 Selangor FC | Tiga Mata Penting Dikutip Menentang Sang Saka Biru

Dec 24, 2025 - FAS

Selangor FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Majlis Perbandaran Selayang selepas menewaskan PDRM FC 3-1 dalam perlawanan minggu ke-13 saingan Liga Super 2025/26, semalam.

Skuad Gergasi Merah mempamerkan persembahan memberangsangkan dengan penguasaan bola sebanyak 54 peratus, mencatat 20 percubaan ke arah gol serta memenangi lapan sepakan penjuru sepanjang perlawanan. Usaha Selangor FC untuk mendapatkan gol pembukaan membuahkan hasil apabila Chrigor Moraes menanduk masuk hantaran cantik daripada Faisal Halim pada minit ke-21.

Pada minit ke-48, Chrigor Moraes sekali lagi membuktikan kemampuannya di udara dengan menanduk masuk gol kedua pasukan hasil hantaran tepat daripada Alvin Fortes. PDRM FC kemudian merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-52. Namun, Selangor FC kembali selesa selepas Noor Al Rawabdeh, pemain kebangsaan Jordan, menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-67 selepas menerima hantaran pertama daripada Zikri Khalili yang dimasukkan pada minit ke-66, sekali gus melengkapkan jaringan terakhir perlawanan #PDRMSFC.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel memuji semangat serta keinginan tinggi para pemain, sambil menegaskan kepentingan pasukan untuk terus mengekalkan konsistensi.

“Bagi saya mereka telah tunjukkan prestasi yang baik, tahniah kepada para pemain termasuk mereka yang masuk sebagai pemain gantian. Kita dapat meraih tiga mata dan mencipta banyak peluang, walaupun ada beberapa kesilapan teknikal yang menghalang pasukan daripada menjaringkan lebih banyak gol. Apa yang penting daripada perlawanan semalam adalah semangat dan keinginan yang tinggi untuk  melaksanakan strategi pasukan. Dari situ, kita dapat lihat konsistensi dan kesinambungan yang baik untuk pasukan setakat ini dan itu yang kita perlu terus dalam dua perlawanan akan datang,” jelas Gamel.

Seterusnya, skuad Gergasi Merah akan berdepan Melaka FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 28 Disember ini jam 8:15 malam bagi perlawanan minggu ke-14 saingan Liga Super 2025/26.

Pihak pengurusan Selangor FC gembira dengan perkembangan positif pasukan yang berjaya mencatat enam perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam saingan Liga Super 2025/26. Semoga lebih banyak kejayaan dapat dicapai bagi musim ini. Ayuh, Merah Kuningku!

Demi Kebanggaan!